Friday 10 June 2011

BIMBINGAN KEARAH WANITA SOLEHAH

Indahnya bergelar muslimah, telah dijanjikan sejuta kebaikan dan sesungguhnya janjiNya itu adalah pasti! Kagum tercurah dengan kesetiaan Siti Khadijah ra, wanita kesayangan Nabi. Pada kesanggupan Sumayyah berkorban demi cintaNya, wanita pertama meraih syahid. Pada ketabahannya berpisah dengan kekasih di bumi untuk mengejar kekasih langit, Ummu Salamah. Pada semangat juang srikandi Islam meskipun dia hanya wanita, Ummu Umarah.
Mereka memiliki kualiti sebagai wanita solehah, sepadan berdampingan dengan lelaki soleh. Namun, kualiti itu telah dicari, diasuh dan dibentuk agar ciri-ciri wanita solehah karib dengan diri.
Hanya muslimah yang mengerti akan hakikat kehidupan sebagai seorang hamba Allah akan pandai dan faham untuk menjadikan dirinya benar-benar bersedia untuk bergelar wanita solehah.

1. Kesempurnaan rohani

Dalam usaha untuk mencapai kesempurnaan hidup bagi seorang muslimah faktor yang terpenting iaitu mendidik rohani atau jiwa ke arah lebih baik dan diredhai Allah SWT. Kerana dengan menyuburkan keimanan di dalam jiwa dan dibuktikan dengan amal soleh jiwa seseorang akan menjadi tenteram.
Seorang muslimah hendaklah berusaha meninggalkan segala aktiviti yang boleh menyebabkan dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Sama ada dalam bentuk dosa syirik mahupun dosa memfitnah dan sebagainya. Sebaliknya ia rindu untuk mengerjakan pekerjaan yang bersifat kebajikan dan mendatangkan manfaat pada dirinya sendiri juga orang lain. Dengan cara demikian maka kehidupan seorang muslimah yang sejati iaitu mengabdi kepada Allah SWT dan memperolehi keredhaanNya akan tercapai.
Beramal soleh dan meninggikan mutu ibadah hanya didapati melalui ilmu pengetahuan, maka kaum muslimah dituntut supaya mencari ilmu agama yang lebih sempurna, agar dia memperolehi kedamaian rohani. Setelah itu sentiasa mengingat Allah dan bekerja sesuai dengan ketentuan Allah SWT.
”Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.

2. Kesempurnaan jasmani

Muslimah perlulah berusaha menjaga kesihatan jasmaninya dengan cara yang lebih baik. Apabila muslimah sakit, ia akan menjadi bebanan kepada diri sendiri dan orang lain. Ia boleh berhias dan sentiasa menjaga kebersihan badannya dalam usaha beribadah kepada Allah.

3. Kesempurnaan akal fikiran

Muslimah harus mempunyai akal yang cerdas serta jauh memandang ke hadapan. Ia mampu menolak kejahatan dan kemungkaran yang mungkin menimpa dirinya. Jika ia pandai membezakan antara yang baik dan yang buruk atau antara yang di suruh oleh agamanya dan yang dilarang oleh agama, maka ia tidak akan mudah dipujuk rayu oleh lelaki yang berniat mahu menggodanya ke arah kemaksiatan.
Kesempurnaan akal fikiran itu akan diperolehi oleh seorang muslimah jika ia menuntut ilmu pengetahuan serta mengenal dan mendalami isi kandungan AlQuran dan Sunnah Rasulullah saw. Dengan demikian ia akan mendapat bekal yang cukup untuk membimbing dirinya sendiri, anak-anak serta seluruh keluarganya. Kerana ia faham mendidik minda untuk memperoleh pengetahuan, pengalaman dan buah aqal yang mulia.

4. Kesempurnaan akhlak

Mencapai kesempurnaan akhlak muslimah merupakan perkara yang penting dan mulia. Kerana ia mrupakan gambaran secara keseluruhan keperibadian seseorang. Jika akhlak muslimah itu buruk, maka seseorang akan mengambil kesimpulan bahawa segala aspek yang ada dalam dirinya adalah buruk. Kerana akhlak gambaran dari diri seseorang.
Akhlak yang mulia iaitu akhlak yang mampu menolak kemungkaran. Kemudian bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT. Kemudian ia sanggup untuk melakukan yang terbaik dan diredhai Allah untuk dirinya sendiri dan bukan lain.