Monday 16 December 2013

Sah, 2014 bakal diingati Tahun Barang Naik - Rafizi


KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli berkata, kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti yang dilaporkan media bahawa kerajaan sedang menimbang untuk menaikkan tambang pengangkutan awam mengesahkan lagi dakwaan beliau sebelum ini bahawa tahun 2014 bakal diingati sebagai Tahun Barang Naik (BN) 2014.
“Saya pernah memberi amaran bahawa Barisan Nasional merancang untuk menaikkan satu persatu harga perkhidmatan dan barang keperluan sepanjang tahun 2014 untuk memastikan kenaikan harga ini berlaku sebelum GST dilaksanakan menjelang Mac 2015,” ujar Pengarah Strategi PKR itu dalam satu kenyataan.
Katanya, Barisan Nasional tahu bahawa pelaksanaan GST akan melonjakkan kadar inflasi, maka sukar untuk mereka menaikkan harga barang keperluan selepas pelaksanaan GST memandangkan pilihanraya umum perlu dipanggil sekitar 2017 atau 2018.
Beliau berkata, keputusan untuk menaikkan harga barang telah pun dibuat seawal tahun pertama Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam tahun 2009 lagi.
Malah sejak 2009, ujarnya Pemandu dan menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Idris Jala secara terbuka membincangkan rancangan penarikan balik subsidi dari pelbagai sektor termasuk kadar pengurangannya sekali yang melibatkan kadar tol, harga gula dan makan, tarif elektrik dan lain-lain. Katanya, kenaikan-kenaikan hanya tidak dilaksanakan kerana Barisan Nasional takutkan kemarahan rakyat mempengaruhi tahap sokongan PRU13.
Namun kini, ujar beliau selepas penyelewengan PRU13 yang mengembalikan Barisan Nasional ke Putrajaya, mereka mengambil kesempatan untuk mula melaksanakan keputusan-keputusan menaikkan harga barang yang telah dirancang selama ini.
“Pengumuman berturut-turut melibatkan kenaikan harga petrol/diesel, harga gula dan harga elektrik mengesahkan bahawa akan ada lagi kenaikan lain yang bakal diumumkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Malangnya, tambah beliau kenaikan-kenaikan ini melibatkan barang dan perkhidmatan ruji (essential goods and services) yang membawa kesan berganda kepada harga-harga barang yang lain. Menurutnya, peningkatan kos tenaga dan makanan utama bermakna kos pelbagai barang dan perkhidmatan lain yang berkait dengannya akan turut naik.
Katanya lagi, kesan berganda ini sudah tentu mempengaruhi kadar inflasi yang akhirnya menaikkan harga barang secara keseluruhan. Beliau menambah, lebih memualkan ialah apabila sebarang penjimatan yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dari kenaikan harga barang ini akan dibazirkan melalui pembaziran projek-projek besar dan pemberian BR1M yang tidak mengubah kedudukan sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, jumlah bantuan yang diberikan melalui BR1M, walaupun menelan hingga RM7 billion, tidak pun dapat membantu rakyat berhadapan dengan kenaikan harga yang berturut-turut ini.
“Oleh yang demikian, jika Barisan Nasional ingin membuktikan bahawa mereka tidak merancang untuk menaikkan harga barang satu persatu sepanjang tahun 2014 sebelum pelaksanaan GST seperti yang saya dakwa, saya mendesak Barisan Nasional membuat akujanji dengan rakyat bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan tambang pengangkutan awam sehingga tahun 2017.
“Jika akujanji ini dibuat, saya bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Barisan Nasional kerana konsisten mengkritik cadangan mereka memotong subsidi dan menaikkan harga barang satu persatu dalam tahun 2014 ini,” ujarnya lagi.