Wednesday 9 January 2013

Detik bersejarah negara akan tercipta 12 Jan ini

KUALA LUMPUR: “Saya yakin rakyat menyambut komitmen KPN dengan kehadiran yang luar biasa melangkaui himpunan sebelum ini,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Riduan Mohd Nor. Beliau berkata, bersejarahnya himpunan 12 Januari nanti kerana jutaan rakyat Malaysia menyatakan sokongan bagi membina sebuah negara baru yang lebih bertamadun, menghormati hak asasi manusia, lebih demokrasi, adil, amanah, menjaga kebajikan rakyat, serta menolak pemimpin rasuah, korupsi, tidak amanah, tiada moral, bermewah-mewahan dengan duit rakyat, dan yang mementingkan kroni. Riduan menyatakan demikian sebagai respons kepada komitmen Ketua Polis Negara yang telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama terhadap penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 dan polis akan bertindak sebagai pemudahcara pada perhimpunan tersebut.
 KPN juga memberi komitmen menjadikan perhimpunan HKR sebagai “detik bersejarah” selepas “belajar dari kekurangan” yang berlaku semasa perhimpunan sebelum ini. “Saya menyambut kenyataan ini dengan perasaan gembira, bersyukur dan bangga. Bangga kerana pihak PDRM sudah mula belajar dari kesilapan menguruskan proses demokrasi yang dianjurkan oleh rakyat sebelum ini,” ujar Riduan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
 Baginya, PDRM sudah mula belajar bahawa jika himpunan diuruskan secara aman, rakyat pasti gembira. Tambahnya, tiada insiden yang memalukan mahupun yang menyayat hati berlaku ke atas rakyat dan kesudahannya akan menyusahkan PDRM dan kerajaan di kemudian hari. “Lihatlah bagaimana episod kesudahan terhadap Himpunan Bersih 1, 2 dan 3 yang berakhir dengan Malaysia menjadi bual bicara yang memalukan masyarakat antarabangsa selama berbulan lamanya,” katanya lagi. Menurutnya lagi, bukan sukar sebenarnya menguruskan himpunan dalam sebuah negara demokrasi.
 Katanya, apa yang penting kerjasama yang erat antara pasukan keselamatan dengan penganjur himpunan. Jelasnya, penganjur bukannya mahu melakukan jenayah, mereka hanya mahu menegakkan hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan. Selama ini pun, kata beliau tidak pernah berlaku insiden keganasan dicipta oleh peserta himpunan melainkan apabila mereka diprovokasi, diganasi, diugut dan lain-lain tindakan yang diluar kewarasan pemikiran.

Tuesday 8 January 2013

Sonamu : Rakyat Kelantan tidak Perlu Bimbang

KOTA BHARU
: Masyarakat Kelantan diminta bertenang serta tidak panik berhubung penyebaran ribut tropika Sonamu. Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, belum menerima sebarang kenyataan berhubung perkara itu apa lagi meminta masyarakat membuat persediaan keselamatan. Pengerusinya, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketika memberitahu media berkata, belau sendiri telah menghubungi pihak Jabatan Meteorologi Kelantan untuk bertanyakan berhubung perkara itu. Beliau juga turut mengingatkan masyarakat Kelantan supaya tidak mengambil ‘maklumat’ dari pihak luar, sebaliknya melalui stesen radio atau alat sebaran yang sah. “Jabatan metereologi hanya meramalkan sahaja, bukan sesuatu perkara yang pasti, kita kena faham,” ujarnya. Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya ia berlaku, pihak MKN telah mempunyai kaedahnya untuk menangani masaalah itu. “Jadi kita seru orang ramai jangan panik, jangan ambil maklumat dari pihak yang tidak sah, melainkan melalui radio, media massa yang diiktiraf,” ujarnya.