Tuesday, 7 January 2014

Peniaga terlibat kebakaran diharap tabah hadapi ujian

RANTAU PANJANG: Para peniaga Pasar Besar Rantau Panjang yang kehilangan punca rezeki mereka akibat terbakar tengah malam tadi diharap banyak bersabar dengan musibah yang berlaku.


Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang Siti Zailah Yusuf antara yang terawal turun ke tempat kebakaran pagi tadi mengucapkan takziah kepada peniaga-peniaga yang menerima musibah itu.



"Kita kena terima musibah ini, dan insyallah akan digantikan dengan rezeki lain selepas ini," katanya.



Zailah turut menasihati para peniaga yang kehilangan peniagaan mereka agar membuat laporan polis dengan segera bagi memudahkan mereka memohon bantuan sama ada dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kerajaan Negeri dan Jabatan Pembangunan Persekutuan.



Beliau juga akan melancarkan tabung kebakaran terutama bagi mereka yang kehilangan modal dan tinggal sehelai sepinggang.



"Kita berharap orang ramai boleh menyalurkan derma kepada mereka kerana ada di kalangan para peniaga yang masih berhutang dengan tauke-tauke besar.



"Iaitu kebanyakkan mereka ambil barang dahulu dan bayar kemudian selepas dapat untung," katanya yang turut bersimpati dengan mereka.



Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Kawasan Rantau Panjang dan Pemuda Pas Dun Gual Periok akan melancarkan derma kilat bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.



Insiden kebakaran yang berlaku pada 11.30 malam tadi berjaya dipadamkan oleh pihak bomba kira-kira dua jam selepas itu. Namun nilai kerugian masih lagi disiasat.



Kejadian itu juga turut mendapat perhatian Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang turun melawat tempat kejadian pagi ini

Mesyuarat Harian PAS Kawasan bersama DHPP Ipoh Timur




6 Januari 2014, satu mesyuarat bersama DHPP dan AJK PAS Kawasan Ipoh Timur telah selamat dijalankan di PASTI Taman Cempaka.  DHPP akan berkerjasama dengan PAS Kawasan Ipoh Timur mengadakan satu ceramah Isu Semasa. Program tersebut akan menjemput 3 orang penceramah hebat. Iaitu YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS Malaysia, Cik Kumutharaman, Ketua DHPP Wanita Malaysia, dan YB Wong Kah Woh ADUN Canning.
 Program tersebut akan berlangsung pada 25 Januari 2014 jam 8.00 malam. Harapan semoga program ini dapat dijalankan dengan sebaiknya dan mendapat kerjasama dari semua pihak. Jom pakat-pakat dapat 25 Januari 2014 bertempat di PASTI Bestari Taman Cempaka, Ipoh. Isu semasa yang kita perlu tahu sebagai rakyat Marhaen.

Monday, 16 December 2013

Sah, 2014 bakal diingati Tahun Barang Naik - Rafizi


KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli berkata, kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti yang dilaporkan media bahawa kerajaan sedang menimbang untuk menaikkan tambang pengangkutan awam mengesahkan lagi dakwaan beliau sebelum ini bahawa tahun 2014 bakal diingati sebagai Tahun Barang Naik (BN) 2014.
“Saya pernah memberi amaran bahawa Barisan Nasional merancang untuk menaikkan satu persatu harga perkhidmatan dan barang keperluan sepanjang tahun 2014 untuk memastikan kenaikan harga ini berlaku sebelum GST dilaksanakan menjelang Mac 2015,” ujar Pengarah Strategi PKR itu dalam satu kenyataan.
Katanya, Barisan Nasional tahu bahawa pelaksanaan GST akan melonjakkan kadar inflasi, maka sukar untuk mereka menaikkan harga barang keperluan selepas pelaksanaan GST memandangkan pilihanraya umum perlu dipanggil sekitar 2017 atau 2018.
Beliau berkata, keputusan untuk menaikkan harga barang telah pun dibuat seawal tahun pertama Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam tahun 2009 lagi.
Malah sejak 2009, ujarnya Pemandu dan menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Idris Jala secara terbuka membincangkan rancangan penarikan balik subsidi dari pelbagai sektor termasuk kadar pengurangannya sekali yang melibatkan kadar tol, harga gula dan makan, tarif elektrik dan lain-lain. Katanya, kenaikan-kenaikan hanya tidak dilaksanakan kerana Barisan Nasional takutkan kemarahan rakyat mempengaruhi tahap sokongan PRU13.
Namun kini, ujar beliau selepas penyelewengan PRU13 yang mengembalikan Barisan Nasional ke Putrajaya, mereka mengambil kesempatan untuk mula melaksanakan keputusan-keputusan menaikkan harga barang yang telah dirancang selama ini.
“Pengumuman berturut-turut melibatkan kenaikan harga petrol/diesel, harga gula dan harga elektrik mengesahkan bahawa akan ada lagi kenaikan lain yang bakal diumumkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Malangnya, tambah beliau kenaikan-kenaikan ini melibatkan barang dan perkhidmatan ruji (essential goods and services) yang membawa kesan berganda kepada harga-harga barang yang lain. Menurutnya, peningkatan kos tenaga dan makanan utama bermakna kos pelbagai barang dan perkhidmatan lain yang berkait dengannya akan turut naik.
Katanya lagi, kesan berganda ini sudah tentu mempengaruhi kadar inflasi yang akhirnya menaikkan harga barang secara keseluruhan. Beliau menambah, lebih memualkan ialah apabila sebarang penjimatan yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dari kenaikan harga barang ini akan dibazirkan melalui pembaziran projek-projek besar dan pemberian BR1M yang tidak mengubah kedudukan sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, jumlah bantuan yang diberikan melalui BR1M, walaupun menelan hingga RM7 billion, tidak pun dapat membantu rakyat berhadapan dengan kenaikan harga yang berturut-turut ini.
“Oleh yang demikian, jika Barisan Nasional ingin membuktikan bahawa mereka tidak merancang untuk menaikkan harga barang satu persatu sepanjang tahun 2014 sebelum pelaksanaan GST seperti yang saya dakwa, saya mendesak Barisan Nasional membuat akujanji dengan rakyat bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan tambang pengangkutan awam sehingga tahun 2017.
“Jika akujanji ini dibuat, saya bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Barisan Nasional kerana konsisten mengkritik cadangan mereka memotong subsidi dan menaikkan harga barang satu persatu dalam tahun 2014 ini,” ujarnya lagi.

Tuesday, 18 June 2013

Sidang Parlimen ke-13 dijangka paling panas



TANGGAL 24 Jun ini akan menyaksikan permulaan episod baru dari kalendar Parlimen negara. Sidang Parlimen ke-13 ini dijangka lebih menarik dan mencabar khususnya bagi Ahli Parlimen BN mahupun PR, susulan keputusan PRU13 yang berakhir Mei lalu. Antara isu yang akan menjadi tumpuan di awal sidang Parlimen ini adalah persoalan sama ada Ahli Parlimen PR akan mengangkat sumpah pada sesi pembukaan Dewan Rakyat, Isnin ini. Ramai pastinya tertunggu-tunggu adakah PR akan kotakan janjinya yang menegaskan akan tetap mengangkat sumpah, meskipun sebelum ini membiarkan ia menjadi tanda tanya. 


 15 Jun lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh, menegaskan kesemua Ahli Parlimen PR tidak akan memboikot persidangan Parlimen ke-13 dan akan mengangkat sumpah 24 Jun ini. Walaupun PR mengangkat sumpah, isu ini pastinya akan menjadi modal pihak lawan kerana PR masih lagi belum secara rasmi mengiktiraf keputusan PRU13 yang dimenangi BN. BN dijangka akan menggunakan isu ini sebagai 'perang psikologi' terhadap Ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini menyatakan pendirian akan memboikot sidang Parlimen. Selain itu, isu dakwat kekal juga dilihat akan menjadi tajuk utama perbahasan dalam tempoh awal sidang Dewan Rakyat. Ini kerana penggunaan dakwat kekal pada mulanya diluluskan oleh Parlimen dan kemudiannya dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU13. 


 Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang baru dipilih rakyat, percaya isu dakwat kekal akan menjadi fokus utama dalam persidangan kali ini. “Saya sering menerima surat-surat daripada rakyat mengenai isu dakwat kekal ini dan percaya, minggu pertama persidangan akan hangat,” katanya. Dalam PRU13, perlaksanaan dakwat kekal dilihat tidak sempurna kerana wujud dakwaan dakwat tersebut boleh tanggal tidak sampai beberapa jam setelah dicalit petugas SPR. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf, sendiri mengakui perlaksanaan dakwat kekal tidak seperti yang beliau jangkakan, walaupun pelbagai usaha dan kajian dilakukan untuk memastikan ia menepati matlamat.



 “Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal,” katanya kepada Sinar Harian. Selain itu, isu-isu lain yang dijangka akan disentuh di peringkat awal persidangan adalah isu perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), janji manifesto PRU13, isu penurunan harga kereta dan isu bantahan pilihan raya seperti Himpunan Blackout 505. Dalam sesi perbahasan kali ini, muka-muka baru ahli parlimen pembangkang yang dijangka mampu memberi impak adalah Rafizi dari PKR; Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan (Pas); Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari (DAP) dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Pas). Bagaimanapun, PR kehilangan pemimpin yang boleh berhujah seperti Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Dr Dzulkifli Ahmad dan Salahuddin Ayub kerana kalah pada PRU13.



 BN pula pastinya akan diketuai Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, setelah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana, yang bertanggungjawab ke atas Parlimen. Muka-muka baru dalam BN pula antaranya, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Umno); Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Umno) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (Umno). Namun, BN pastinya kehilangan tokoh-tokoh pendebat seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana telah dilantik menganggotai barisan Kabinet. Selain itu, BN juga kehilangan Datuk Saifuddin Abdullah, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Mohamad Aziz kerana kalah dan tidak bertanding dalam PRU yang lalu. 



 Jika dilihat dari senarai ahli parlimen kali ini, BN banyak didominasi wakil dari Umno, manakala PR mempunyai jumlah ahli parlimen yang seimbang di antara ketiga-tiga parti. Berdasarkan keputusan PRU13, Umno berjaya memenangi 89 kerusi dari 133 kerusi keseluruhan BN, manakala PR pula mendapat 89 kerusi, iaitu DAP (38), PKR (28) dan Pas (21). Sidang kali ini juga menyaksikan ketiadaan Ahli Parlimen Bebas kerana semua mereka, termasuk Datuk Zulkifli Noordin, yang bertanding atas tiket BN di Parlimen Shah Alam, kalah pada 5 Mei lalu. 



 Namun, yang pastinya rakyat mahukan perbahasan dan hujah di Dewan Rakyat kali ini lebih baik, bernas dan bukan retorik. Kegagalan BN mendapat majoriti dua per tiga dalam Parlimen juga dilihat akan memainkan peranan penting kerana berdasarkan perbezaan jumlah Ahli Parlimen kali ini, bukan mudah sesuatu keputusan berpihak kepada kerajaan. Jika kesemua Ahli Parlimen komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan, rakyat pastinya akan dapat menilai sejauh mana wakil rakyat mereka mampu berkhidmat untuk rakyat. Artikel Berkaitan

Wednesday, 5 June 2013

Mas kahwin RM41,101?.. Kerja apa si Saiful ni?

Mukhiz menepung tawar kepada pasangan pengantin


                                        Ustaz Nasharuddin turut hadir


Pemilik Blogger , Papagomo juga hadir meraikan pengantin

Sekarang musim orang kahwin. Yang suka dilihat adalah gambar Ustaz Azhar Idrus berkahwin tiga. Namun ada satu perkahwinan yang tidak berapa suka dilihat khasnya oleh ahli PAS. Ia adalah perkahwinan Saiful Bukhari dengan pasangannya Nik Suryani Megat Deraman di Dewan Dataran Karyawan Kompleks Belia Sukan Seksyen 7 di sini malam tadi. Yang tak suka dilihat adalah tokoh-tokoh yang turut serta di majlis resepsi itu selepas majlis akad nikah di Kuala Terengganu. 
 Dengan bertemakan Garden Wedding, kira-kira 800 pengunjung yang hadir pada majlis tersebut turut dihiburkan dengan alunan music jazz yang dibawa oleh Jimmy and Fans semasa majlis itu sedang berlangsung. Menurut blog KLpos, antara tetamu kenamaan yang hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukriz Mahathir, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Perkasa Zulkifli Noordin dan blogger kontroversi Papa Gomo. Pada 25 Mei lalu, Saiful Bukhari Azlan diijabkabulkan di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI) berwalikan bapa pengantin perempuan sekaligus sah bergelar suami kepada salah seorang personaliti TV3, Nik Suryani. Dengan jumlah mas kahwin berjumlah RM41,101, majlis diserikan dengan 9 dulang hantaran yang diiringi rombongan pengantin lelaki dan dibalas 11 dulang dari pihak keluarga Nik Suryani ~ Harakahdaily

Thursday, 30 May 2013

Zambry Kadir Akan Bubarkan DUN Dalam Tempoh 6 Bulan Lagi?


Beberapa ADUN UMNO didakwa akan melompat dan juga petisyen dari PR Perak yang peluang cerah untuk menang 2 atau 3 kerusi, DS Zambry Kadir mungkin menghadap DYMM Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak.

UMNO kemungkinan besar tidak akan membenarkan keputusan mahkamah menentukan kerajaan rakyat Pakatan Rakyat.

Bagi UMNO mereka tidak akan serah ,kuasa dengan begitu mudah. Pilihan baik DS Zambry Kadir membubarkan DUN Perak ,lantas mengadakan Pilihanraya Negeri Perak sekali lagi.

UMNO sekali mengharapkan undi orang Melayu untuk menyelamatkan kerajaan mereka

Tuesday, 28 May 2013

Kejadian Lampu Padan : Wan Ahmad malukan SPR

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang membuat penafian melulu terhadap dakwaan berlakunya 'lampu padam' di beberapa kawasan ketika pengiraan undi pada 5 Meli lalu, hanya memalukan bukan sahaja diri beliau malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri. Bagi Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, tindakan Timbalan Pengerusi SPR itu hanya menunjukkan sikap angkuh beliau seperti tidak mahu mangakui wujudnya kepincangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. "Saya nak ingatkan beliau (Wan Ahmad), jangan cepat sangat buat penafian, selidik lah dahulu dakwaan-dakwaan yang di kemukakan. "Jangan ambil sikap mudah anggap semua dakwaan dari rakyat ini sebagai fitnah, sekurang-kurangnya dengar dan selidik lah dahulu sebelum buat kenyataan balas," katanya kepada Harakahdaily. 

 Sebelum ini beberapa pihak memuat naik sekeping gambar di internet mendakwa berlaku insiden lampu padam ketika proses pengiraan undi pada PRU13 lalu. Tidak berapa lama kemudian, Wan Ahmad tampil dengan kenyataannya bahawa gambar tersebut adalah fitnah. Malah beliau dengan tegas mendakwa gambar itu hanya lakonan pihak tertentu yang dirakamkan sebelum PRU-13 lagi. Sehari selepas penafian Wan Ahmad itu, Adun PAS Seri Serdang Noor Hanim Ismail mengadakan sidang media mengatakan sememangnya insiden lampu padam itu berlaku di salah satu pusat mengundi di kawasannya. 

 Menurut Noor Hanim, kejadian itu berlaku pada 5 Mei lalu di Sekolah Kebangsaan Serdang, dan dirakam oleh ejen penjumlahan undi dari parti tersebut. Selain beliau, satu lagi bukti laporan polis turut ditampilkan ketua pasukan #SiasatPRU13 Rafizi Ramli dengan mendakwa insiden sama turut berlaku di Parlimen Kulim Bandar Baharu. Hari ini pula, Wan Ahmad dengan nada berbeza membayangkan kenyataannya sebelum ini tidak tepat kerana penafian itu dibuat berdasarkan laporan 24 yang diterima selepas hari pengundian. Katanya, pihak SPR telah menghubungi pegawainya, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dimaklumkan tiada laporan lampu padam diterima. Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai berkata, SPR jangan menganggap bahawa PRU13 kali ini paling 'perfect'. Sebaliknya segala dakwaan kepincangan serta bukti yang ditampilkan oleh rakyat harus didengar dan disiasat dengan baik.

Muslimat Ipoh Timur :Ada tangan - tangan ajaib yang padamkan lampu itu dan terjadi pulak di tempat-tempat tertentu. Elok sahaja habis pengiraan undi lampu pun dipasang balik. Macam Lawak je... Wahai SPR jangan jadi anjing BN untuk kepentingan sendiri nanti anda akan merana. Nanti kena penjara macam di Thailand baru tahu .Semoga kebenaran akan berjaya ditegakkan oleh Pakatan Rakyat. Jangan mengaku kalah, perjuangan itu memang pahit kerana syurga itu manis...